Friday, 27 May 2016

MARI BERKENALAN DENGAN TEKNIK FERTIGASI

Fertigasi (fertigation) berasal daripada perkataan “fertilizer” dan “Irrigation”. Definasi Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.
Fertigasi adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro.
Beberapa media digunakan bagi tujuan menggantikan fungsi tanah seperti cocopeat, sekam padi, rootwool, perlite, zeolite dan juga vermiculate dalam kaedah tanaman fertigasi. Cocopeat dan sekam padi digunakan secara meluas kerana harganya murah, ringan, berkualiti dan mudah digunakan.
Pokok ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah yang sesuai. Media yang biasa digunakan adalah sekam bakar dan sabut proses (ratio 50:50) yang mempunyai pH 6.5 – 6.8. Pembajaan yang diberikan mengikut formulasi baja yang tertentu bergantung kepada jenis tanaman.
Selain itu, tanaman kebiasaannya ditanam di tapak penanaman yang mempunyai struktur pelindung hujan dan serangga.
Kaedah Fertigasi ini bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit serangan bakteria yang berpunca daripada tanah.


PERTANIAN MODEN LENYAPKAN BAHASA KERBAU




KUALA LUMPUR: Percayakah anda bahawa kerbau adalah binatang yang memahami arahan lisan pengembala atau tuannya? Sesungguhnya ia adalah satu fakta dalam kegiatan persawahan tradisional tetapi bahasa kerbau kini hampir tidak kedengaran lagi. Walaupun kerbau tidak boleh bertutur tetapi setiap arahan lisan pesawah atau pengembalanya difahami serta dipatuhi. Suatu ketika dahulu kerbau dan sawah begitu sinonim malah ada yang beranggapan tanpa kerbau, sawah akan mati atau tidak dapat dikerjakan. Tugas utama kerbau dalam kegiatan persawahan termasuk menarik pembajak dan beberapa peralatan lain seperti penyisir dan tenggiling. Kerbau juga digunakan bagi menarik batang pisang untuk kerja-kerja membadai atau meratakan tapak semaian padi. Pastinya semua tugas itu tidak mampu dilaksanakan secara mudah dengan hanya bergantung kepada kudrat manusia. Bahasa kerbau Kerana sinonimnya kerbau dan sawah, para pesawah menjadikan binatang itu sebagai rakan setugas dan mempelajari bahasa kerbau sebagai kaedah berkomunikasi. Antara sebutan bahasa kerbau yang sering digunakan ialah "Ha'ihh" bagi menyuruh kerbau berjalan ke hadapan sambil menarik bajak, penyisir, tenggiling dan yang lain. Untuk mengarahkan binatang itu membelok ke kanan disebut "paling chah" atau "chah nuu" dan jika disebut "paling sok" kerbau akan membelok ke kiri. Bagi memberhentikan pergerakan kerbau, pesawah akan menyebut "diam" dan dengan segera binatang itu berhenti. Jika pesawah mahu kerbau itu berjalan secara berundur, beliau perlu menyebut perkataan "serot atau seghoot" dan haiwan itu akan berundur. Arahan menggunakan bahasa kerbau itu perlu kuat dan lantang supaya ia didengari dengan jelas oleh binatang peliharaan itu. Ada dalam kalangan petani yang membawa ranting kayu bagi memukul bahagian punggung kerbau jika binatang itu bersikap degil dan enggan menurut arahan. Bahasa kerbau ibarat kawalan gear Bekas seorang pesawah tradisional, Dahaman Hamid, 73, berkata bahasa kerbau ibarat kawalan gear bagi jentera pembajak. Walaupun bahasanya agak terbatas namun seperti jentera pembajak, arahan lisan itu lebih bertumpu kepada pergerakan hadapan, undur, membelok dan berhenti. Dahaman yang menetap di Yan, Kedah berkata, dia mempelajari bahasa kerbau daripada para pesawah lain dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika mengendalikan binatang itu. Mungkin ada lagi sebutan lain tetapi tidak digunakan kerana biasanya kerbau hanya digunakan kudratnya untuk membajak dan bahasa arahan itu adalah memadai. Bahasa kerbau juga bukan sahaja digunakan oleh para pesawah di negara ini malah di Thailand. Walaupun peranan kerbau begitu penting dalam kerja-kerja di sawah namun kini binatang perkasa itu hampir tidak kelihatan lagi ketika industri padi memasuki fasa pemodenan sejak berdekad lalu. Tugas penting kerbau dalam kegiatan pembajakan sejak sekian lama kini diambil alih oleh jentera pembajak menjadikan tugas pesawah semakin mudah. Kerbau telah direhatkan sepenuhnya di pinggir sawah dan binatang itu hanya menyaksikan jentera pembajak yang lebih pantas bergerak itu sambil meratah tanah. Penggunaan jentera pembajak Mohd Jan Mat Rani, 59, seorang pesawah di Perlis berkata, dia pernah mengendalikan jentera pembajak ketika ia mula diperkenalkan lebih 40 tahun lalu. Ketika itu, jentera pembajak beroda dua yang digunakan oleh pesawah di Perlis sering dikenali sebagai "kerbau buta". Jentera itu dinamakan demikian mungkin disebabkan kegiatan membajak begitu sinonim dengan kerbau. Mungkin juga kebanyakan jentera pembajak yang digunakan ketika itu berjenama "Kubota" lalu disebut sebagai kerbau buta. Bagaimanapun kehadiran jentera itu menyebabkan bahasa kerbau semakin hilang sebagaimana lenyapnya kerbau akibat bermulanya era persawahan moden. Ketika kerbau tidak lagi diperlukan untuk kerja persawahan, kebanyakan binatang itu dijual dan ada yang disembelih. Walaupun peranan kerbau telah dipinggirkan namun khidmat bakti binatang itu tetap terlakar dalam sejarah persawahan tradisional. Penarik anok Selain kegiatan pembajakan, kerbau juga berperanan dalam tugas-tugas lain termasuk menjadi penarik anok, sejenis alat yang digunakan bagi mengangkut padi dan barangan lain. Biasanya anok tidak mempunyai roda tetapi yang mempunyai roda lebih dikenali sebagai kereta kerbau kerana ia juga ditarik oleh binatang itu. Kereta kerbau bukan sahaja membawa penumpang tetapi juga membawa barangan. Kudrat kerbau juga digunakan bagi kegiatan memerah tebu menggunakan mesin yang diperbuat daripada kayu. Kerbau akan menarik pemegang alat pemerah tebu dengan berjalan mengelilingi alat berkenaan sehingga himpunan tebu itu dapat diperah. Suatu ketika dahulu, kegiatan menunggang kerbau juga adalah perkara biasa di kawasan kampung kerana binatang itu lasak dan tidak memerlukan laluan yang sempurna untuk bergerak. Bagaimanapun penunggang kerbau perlu terlatih mengimbangi badannya supaya tidak tergelincir dan jatuh ketika kerbau bergerak terutama ketika melalui kawasan parit. Laga kerbau Pada zaman silam juga, kerbau pernah digunakan bagi tujuan hiburan termasuk kegiatan laga kerbau selepas musim menuai. Acara laga kerbau berlangsung di gelanggang khas yang diwujudkan di kawasan kampung dan ia bagaikan pesta apabila orang ramai berkumpul bagi menyaksikan kerbau yang bakal menjadi juara. Bagi negeri Perlis, acara laga kerbau turut diiringi dengan persembahan Gendang Perlis yang dimainkan di atas tempat khas di atas pokok di pinggir gelanggang. Persembahan Gendang Perlis biasanya membabitkan dua gendang tanpa serunai dan dimainkan secara berterusan hingga acara laga kerbau berakhir. Sesungguhnya kerbau berperanan luas dalam masyarakat suatu ketika dahulu namun kehebatan silamnya kian dilupakan. Yang pasti peranan kerbau tetap terukir dalam lakaran sejarah pertanian tradisional walaupun kelibatnya jarang kelihatan. - BERNAMA


Sunday, 1 May 2016

CARA MEMBUAT SIMENFERO


Inilah cara  nak buat bangku simen ferro yang paling asas.
  1. Membuat lakaran projek yang berkaitan. Seboleh-bolehnya apabila projek siap kelak, ia menyamai lakaran yang dibuat.
  2. Menggunakan bahan yang sesuai seperti simen, keluli, pasir, air, jejaring dawai (BRC) dan dawai mata punai.
  3. Menggunakan alat yang sesuai seperti perata simen, sudip, sekup, penapis, gunting besi, dan peralatan lain yang berkaitan.
  4. Memotong bahan kerangka (BRC) menepati spesifikasinya iaitu mengikut lakaran. Elakkan pembaziran bahan. Kalau berniaga, rugilah nanti.
  5. Untuk menambah kekuatan struktur, gunakan juga besi 'link' yang diikat bersama BRC. 
  6. Membentuk kerangka mengikut lakaran.
  7. Mengikat kerangka dengan kemas. Ikat kerangka dengan dawai halus / lain-lain yang sesuai.
  8. Kalau nak, balut kerangka tadi dengan dawai mata punai agar mortar mudah melekat ke kerangka semasa melepa.
  9. Menyediakan bahan bancuhan mortar dengan nisbah yang betul: 2 bahagian pasir halus, 1 bahagian simen dan ½ bahagian air.
  10. Membancuh mortar dengan sekata.
  11. Lepa selapis simen pada bahagian luar kerangka.
  12. Melepa mortar pada kerangka dengan betul dan ketebalannya sekata.
  13. Biarkan keras.
  14. Buat lepaan lapisan kedua. Ketebalannya lebih kurang 1 cm. Biarkan mengeras 2 hingga 3 jam.
  15. Buat lorekan seperti kulit kayu. Lorekan ini dibuat sebelum mortar betul-betul keras. Kalau mortar dah keras, tak bolehlah nak dilorek. Ingat tu...
  16. Lorek dengan apa? Alaaa... gunakan paku boleh, gunakan pemutar sekru boleh, gunakan test pen boleh, gunakan hujung sudip simen pun boleh... gunakanlah benda-benda yang tajam di hujungnya...
  17. Buat lorekan dengan betul dan kreatif agar nampak lawa dan cantik...buatlah lorekan seperti kulit kayu...
  18. Apabila dah dilorek, biarkan betul-betul kering.
  19. Sebelum mengecat, bersihkan projek itu dari gerigis simen menggerutu dan habuk dengan menggunakan berus keluli.
  20. Cat kulit kayu lapisan pertama dengan car berwarna hitam termasuk di celah-celah lorekan. Bahagian yang berupa potongan kayu tak payah dicat hitam, kan nanti nak disapu dengan cat warna kuning atau coklat muda...
  21. Apabila lapisan pertama cat dah kering, bolehlah cat lapisan kedua dengan warna-warna yang menyerupai warna kulit kayu seperti warna coklat, kuning, putih, oren dan lain-lain warna yang sesuai.
  22. Biarkan kering.
  23. Kilatkan projek menggunakan pengilat. Barulah nampak cantik dan menarik... jom buat..





Thursday, 21 April 2016

Hari Kantin SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman



  SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman telah mengadakan Hari Kantin pada 7 Ogos 2014 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari Kantin telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin Haji Ramli yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari tersebut dibuka kepada orang ramai dan kupon-­kupon disediakan untuk melicinkan urus niaga pada hari tersebut. Semua guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin dengan dibantu oleh para pelajar yang dipilih oleh guru-guru berkenaan.
Antara program yang telah dijalankan semasa Hari Kantin ialah pesta jualan makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata. Makanan pelbagai kaum disediakan oleh para guru dan pelajar seperti nasi lemak, laksa, capati, mihun, keropok lekor dan kuih bulan. Ada juga gerai yang menjual makanan tradisi pelbagai kaum seperti lemang, wajik, penganan dan sebagainya. Air batu campur, air tebu, ais yang dikisar dan air bergas turut dijual di bahagian gerai minuman. Rata-rata para pengunjung berpuas hati dengan kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari Kantin. Para guru dan pelajar yang berniaga pula tidak menang tangan sentiasa melayan para pelanggan yang membeli makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun ini terdapat banyak cenderamata dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T, alat tulis yang bercetak nama sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga yang berpatutan, kedai-kedai cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sambutan paling hebat dilihat di gerai makanan dan minuman kerana keghairahan pengunjung untuk merasai juadah yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini, para pelajar dapat mengenali makanan tradisi kaum lain di negara ini. Justeru, secara tidak langsung Hari Kantin telah berjaya mempromosi makanan tradisional kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu, pada hari ini juga diadakan program pameran hasil kerja para pelajar sekolah. Antara hasil kerja yang dipamerkan ialah model sebatang rokok sempena kempen Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan Teknologi Kejuruteraan. Selain itu, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya juga telah mempamerkan hasil kerja mereka seperti carta nilai­-nilai murni dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di samping itu, para pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan seni khat secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang kejayaan sekolah turut dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab Hoki yang telah menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa orang pelajar yang telah menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan sebagainya. Dengan mengadakan pameran, para pengunjung dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2013. Sebagai serampang dua mata, pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi pihak sekolah agar para pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah pada- masa depan. Manakala ibu bapa juga dengan senang hati membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Program lain yang diadakan sempena Hari Kantin ialah aktiviti permainan. Sebagai contohnya rumah hantu yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah dan Geografi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke rumah hantu adalah sebanyak RM2. Banyak pengunjung beratur di luar kelas untuk merasai pengalaman seram apabila berada di dalam rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa mereka berasa seolah-olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan hantu-hantu yang menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing ikan, meneka jumlah berat kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah patung. Kanak-kanak pula mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan di padang sekolah seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah. Di samping itu, belon-belon secara percuma turut diedarkan kepada kanak-kanak oleh badut yang menceriakan suasana pada hari tersebut dengan telatah lucunya ketika mengusik kanak-kanak. Salah satu aktiviti permainan yang paling mendapat perhatian para pengunjung ialah menunggang kuda dengan bayaran RM5 selama 20 minit. Walaupun agak mahal namun aktiviti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para pengunjung yang tidak pernah merasai menunggang kuda.
Sebagai acara selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik sekolah telah memainkan lagu-lagu mengikut permintaan para pelajar dan pengunjung. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu. Banyak pilihan lagu yang ke udara mengikut permintaan seperti rentak jazz, sentimental, rock, balada dan asli. Para pelajar paling menyukai aktiviti ini kerana nama pembeli dan penerima lagu disebut oleh juruhebah yang bertugas. Dalam segmen ini, banyak guru menerima lagu daripada para pelajar dengan ucapan terima kasih kerana telah membimbing mereka dalam bidang pelajaran. Hakikatnya, acara ini berjaya memupuk sikap menghargai guru dalam kalangan pelajar. Sambil melihat program yang lain, para pengunjung juga memasang telinga untuk mengenal pasti sama ada nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak. Sambutan yang hangat oleh para pelajar menyebabkan sebanyak 600 buah lagu dipasang sepanjang majlis Hari Kantin berlangsung. Sambil menyelam, minum air, sebenarnya satu per tiga hasil kutipan untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah Anak Yatim Bakti yang terletak bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak langsung para pelajar didedahkan dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
Akhir kata, Hari Kantin yang dijalankan berjaya mengutip hasil yang melebihi sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin adalah sebanyak RM30,000 Pihak sekolah telah menyasarkan kutipan sebanyak RM15,000 Pencapaian ini membanggakan pihak sekolah yang diibaratkan seperti kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat setempat merupakan sumber sokongan utama kejayaan pihak sekolah. Walaupun warga sekolah terpaksa mengorbankan hari Ahad mereka, namun apabila melihat kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa puas. Pengetua mengumumkan bahawa hari Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah bolehlah berehat pada hari tersebut.